“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. - ayat 10 alKahfi

08 March 2012

SBPA: Jangan Curah Cuka ke dalam Susu - harapan Penjawat Awam

SBPA: Berita baik untuk penjawat awam esok? atau sebaliknya? Nasib Najib dan BN akan ditentukan sejauh mana Penjawat Awam berpuas hati dengan tawaran ini.

pejuang kental


Peperangan akan meletus antara kakitangan bawahan dan kakitangan atasan jika apa yang dituntut oleh Ceupacs tidak ditunaikan. Kerajaan Malaysia akan goyang teruk. Matlamat BN untuk mendapat 2/3 kerusi parlimen pasti tidak akan tercapai. Malah mungkin akan mengakibatkan BN hilang kuasa. 

Sekiranya perlaksanaannya tidak tangguhkan dan disemak semula, pastinya huru hara telah berlaku dan pihak pembangkang pula pasti tidak melepaskan peluang untuk menangguk di air keruh, mengaut pengaruh.

Secara tidak langsung kegagalan SBPA telah membuka pekung kurangnya sikap profesionalisma di kalangan pegawai utama di JPA dan SPA. Kegagalan perlaksanaan SPBA pada peringkat awal telah menempelak wujudnya anasir jahat dalam JPA/SPA tersebut. Dasar yang dilaksanakan tidak seiring dengan hasrat kerajaan untuk membantu meringankan penderitaan rakyat berpendapatan rendah. Bukankah perbuatan mereka merupakan satu pengkhianatan kepada negara?

Kita percaya Najib amat bijak dalam mengatur kejayaan BN selepas kalah agak teruk dalam pilihanraya yang lalu. Pembangkang juga sedang memberi fokus terhadap apa yang akan disampaikan oleh Najib besok. Tentunya mencari peluang mendapatkan ruang mencari pengaruh. Kegagalan Najib adalah kejayaan pesaingnya.

Kita lihat nanti mampukah Ceupacs memaksa JPA dan SPA mematuhi kehendak majoriti kakitangan Awam.... suspen ni...



KUALA LUMPUR  7 Mac 2012 - Kira-kira 1.4 juta penjawat awam menunggu dengan penuh debaran pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), esok.

Najib dijadual berucap pada perhimpunan khas yang dihadiri ketua-ketua jabatan kerajaan dan badan berkanun serta pegawai kanan perkhidmatan awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kenyataan bahawa Datuk Omar Osman, Presiden Cuepacs, badan yang menjadi payung kepada kesatuan-kesatuan sektor awam, yang akan berucap pada majlis itu, memberi petunjuk jelas bahawa ia mungkin memberi tumpuan kepada skim SBPA yang disemak semula.

Walaupun beberapa penganalisis melihat skim SBPA sebagai "durian runtuh" untuk penjawat awam, pelaksanaannya merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mentransformasikan perkhidmatan awam negara menjadi sesuatu yang dinamik dengan budaya berpretasi tinggi yang cekap dan mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada masyarakat moden.

Skim itu, yang bermatlamat menyediakan ganjaran yang lebih baik dan berdaya saing kepada penjawat awam serta mengurus tarikan bakat, pengekalan dan pemacu dalam perkhidmatan awam, merupakan sebahagian daripada pelan transformasi Najib bagi meletakkan asas ke arah mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

Pada mulanya, Najib telah mengumumkan rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim gaji yang lebih baik bagi penjawat awam ketika beliau membentangkan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober tahun lepas.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64.1 bilion untuk gaji dan pencen kakitangan kerajaan di bawah Belanjawan 2012 tetapi semakan boleh bermakna gaji yang lebih tinggi.

Skim itu, yang dijadual dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini, ditangguhkan selepas CUEPACS membantah terhadap kewujudan perbezaan gaji yang begitu ketara antara mereka yang menduduki gred JUSA dan Premier berjumlah kira-kira 2,600 pegawai dan mereka yang berada dalam Gred 54 dan ke bawah.

Berikutan keadaan yang tidak seimbang, Perdana Menteri mengambil tindakan tepat pada 12 Januari apabila beliau meminta supaya skim itu disemak semula.

Satu pasukan petugas khas diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, dibentuk bagi mengkaji kelemahan yang dikatakan wujud dalam skim yang dicadangkan itu.

Walaupun, pasukan petugas diberi tempoh sehingga 16 April untuk menyelesaikan tugasnya, tetapi ia telah dapat membereskannya lebih awal daripada yang diduga.

Penyelesaian bagi isu yang hangat ini memberi kelegaan kepada kakitangan yang terjejas, yang mana, seterusnya ia mungkin memberikan kesan positif berganda di mana empat juta orang lagi akan mendapat manfaat jika anggaran kasar empat tanggungan bagi setiap pekerja digunakan.

Sesungguhnya, ia akan menjadi durian runtuh jika mereka juga mendapat bayaran tunggakan kerana Cuepacs meminta supaya pakej gaji SBPA yang disemak semula berkuatkuasa daripada tarikh pelaksanaan asal iaitu 1 Januari walaupun ia ditangguhkan.

Bagaimanapun, bukan hanya penjawat awam yang mendapat faedah di bawah program transformasi Perdana Menteri ke arah mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini. Pada akhirnya, mereka yang berada dalam sektor swasta, terutama yang berada di peringkat rendah, juga akan menikmati faedah kerana kerajaan juga sedang menumpukan usaha bagi melaksanakan dasar gaji minimum.

Dasar yang dicadangkan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3.2 juta kakitangan sektor swasta. Sementara begitu banyak perdebatan mengenai kebaikan dan keburukan bagi dasar sedemikian, perlu diingatkan bahawa teras utama ialah bagi menyediakan gaji yang memuaskan dan membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Kesimpulannya, semua ini adalah sebahagian usaha di bawah orientasi kerajaan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" di bawah pentadbiran Najib bagi meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia untuk masa depan yang lebih baik. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...