“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. - ayat 10 alKahfi

09 March 2012

SBPA batal PR tumpang sekaki cari publisiti




Rumah Siap Pahat Berbunyi. Negitulah perumpamaan yang dapat kita kaitkan dengan fenomena SBPA ini. Kini SBPA telah berkubur dan akan terus dikenang sebagai kegagalan terburuk sebuah Suruhanjaya penting kerajaan. Begitu juga dengan tonggak utama MCS yang begitu kebal sejak dari zaman merdeka, JPA sepatutnya merasa amat malu dengan kegagalan ini.

Negara bernasib baik mempunyai Kesatuan Sekerja secekap CEUPACS yang bertindak tanpa jemu mempastikan Kakitangan Awam terpelihara dari pemganiayaan kumpulan atasan Sektor Awam. Jika dahulu JPA boleh lakukan apa sahaja apa yang mereka kehendaki, kini keadaan amat berbeza. Kerajaan boleh terbalik jika Kakitangan Awam memberontak. Secara tidak langsung CEUPACS telah menyelamatkan kerajaan BN dan DSNR dari mengalami mimpi buruk sama ada disedari oleh PM atau tidak. 

Pasti PRU13 ini milik PR jika SBPA diteruskan juga. Ramai kakitangan yang tidak berpuas hati tetapi tiada ruang untuk meluahkannya kecuali dalam pilihanraya nanti. Inilah bahayanya. PRU12 lalu sepatutnya menjadi pengajaran berguna kepada BN, hanya disebabkan TAAB enggan memberikan bonus sahaja, Kakitangan Awam beralih arah menyuarakan kemarahan mereka walaupun mereka tidak begitu memihak pembangkang. Walaupun ia bukannya faktor utama, ia menjadi penyumbang kuat juga. 1.3 juta pengundi, jika ambil 2/3 dari jumlah tersebut ia melibatkan lebih dari 3/4 juta pengundi belum campur ahli keluarga.

Begitulah kritisnya keadaan politik semasa. Kerajaan tidak boleh melakukan sebarang kesilapan langsung. Jika tidak bersalah pun di rekayasa berbagai kesalahan, inikan pula ia memang nyata dan memberi impak besar pula.

Mana-mana penjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) yang mempunyai agenda tersendiri atau terserlah memlakukan kesalahan sabotaj wajar diambil tindakan dan diketepikan sebelum ia merebak menjadi kanser. Amat mudah untuk mengesan mereka, Kakitangan Sokongan JPA pasti tahu siapa mereka ini dan bagaimana mereka bekerja. Bersihkan segera dari menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging sebelum terlambat. CEUPACS pasti bersedia untuk memberi kerjasama.

Contoh terbaik, kenapa Lampiran 'C' cuba disembunyikan? Ia belum diambilkira beberapa dokumen melibatkan kumpulan premier. Ia membayangkan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan dari pengetahuan umum. Seperkara lagi, kenapa ia disedia dengan keadaan tergesa-gesa dan hanya memberi tempoh masa yang sangat singkat serta memaksa seluruh Katitangan Awam menanda tangani 'option' dengan segera? 

Mereka cuba hindari kerajaan dari menghidu niat sebenar mereka. Jika mereka berjaya lakukan setelah menipu kerajaan DS Najib, apa yang akan berlaku? Pastinya sukar untuk dijelaskan .. Tidak mustahil juga mereka bekerja secara rahsia untuk pemimpin pembangkang. 

DS Najib sedang melalui keadaan yang amat sukar sekarang ini. Perlu selesaikan banyak kerja untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada kerajaan. Segalanya mesti diteliti dengan saksama walaupun atas tujuan kebaikan. DS Najib perlu kuat dan kental di samping mempunyai sahabat setia dalam menangani pelbagai tuduhan yang di asak oleh pembangkang yang terkenal licik dan kotor itu.

Kemelut SBPA ini banyak memberi pengajaran berguna kepada PM dan lain-lain pemimpin BN.

Dalam suasana kelegaan Kakitangan Sokongan terhadap berita pembatalan ini, masih terdengar suara sumbang pembangkang. Pastinya mereka tidak akan pernah berputus asa mencari keburukan kerajaan. Ada sahaja komen negatif dari mereka. Mungkin juga mereka cukup kesal dan kecewa dengan pengishtihatan pembatalan skim SBPA ini. Sebelum ini mereka mendiamkan diri atas satu tujuan. Mereka rasa mempunyai habuan percuma hasil dari tidak puas hati Kakitangan Kerajaan jika ia dilaksanakan. Kes yang sama sebagaimana yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu.

Kita harus ingat hanya kesilapan kecil TAAB, PM ketika itu (enggan beri bonus) telah mengakibatkan BN hampir kecundang. Walaupun ia bukan faktor utama kekalahan banyak calun BN, namun ia tetap memberi sumbangan percuma kepada pembangkang. 

Semoga peristiwa ini akan dinilai sebagai sebahagian bahan pelajaran untuk memperteguhkan BN.

Kini kita sedang menunggu siapakah yang bakal dipecat atau disingkirkan dari SPA dan JPA atas kegagalan SBPA ini. Berjuta ringgt telah dibazirkan untuk penyediaannya. Penyokong BN tidak mahu manusia-manusia bodoh dan tamak ini berada dalam jabatan kerajaan.

Jika mereka masih terus berada di sana sehingga tahun 2017 nanti, pastinya BN akan musnah walaupun berjaya diselamatkan dalam PRU kali ini.

Diharap cadangan ini dapat membantu.



Cuepacs: Batal SBPA tiada kaitan PRU tapi 'perlu'
WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2012

SHAH ALAM - Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja sektor awam, tidak melihat keputusan kerajaan membatalkan pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) sebagai "tindakan politik" menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sebaliknya menurut Timbalan Presidennya, Azih Muda, pihaknya menganggap keputusan pembatalan SBPA yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai tindakan yang perlu diambil demi masa depan kakitangan awam negara ini.

SBPA yang diumumkan pelaksanaan pada Oktober lalu, sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu tetapi ditangguhkan awal tahun ini ekoran protes kakitangan awam.

Pembatalannya diumumkan pagi semalam.

"Saya tidak mahu cakap mengenai pilihan raya atau politik, tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan mendengar kehendak rakyat, kerajaan harus meningkatkan pendapatan rakyat.

"Yang penting keputusan yang diambil ini adalah keputusan demi masa depan kakitangan awam, ini soal survival, bagaimana kita perlu mengambil tindakan untuk mengurangkan beban kos hidup dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Azih juga berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas petang ini untuk mengumumkan secara rasmi pendirian berkenaan dengan keputusan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Najib yang juga Menteri Kewangan pagi semalam mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Perdana Menteri turut mengumumkan pelarasan gaji 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana di Gred 1 hingga Gred 54, di samping pelarasan gaji sembilan peratus untuk gred Utama dan Khas C, B serta A.

Pelarasan gaji untuk Kumpulan Turus III serta Turus II pula sebanyak lapan peratus, dan Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara sebanyak tujuh peratus.

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Perdana Menteri berkata sebarang cadangan yang disyorkan oleh suruhanjaya yang dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja menerusi prinsip musyawarah, perundingan dan permuafakatan itu akan dipertimbang mengikut kemampuan kerajaan.

Kata Najib, struktur gaji SSM akan diubah suai daripada jadual Gaji Matriks kepada Jadual Gaji Minimum-maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi Gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.

Kadar KGT bagi JUSA dan ke atas pula kekal menggunakan Kenaikan Gaji Tahunan SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembatalan SBPA menunjukkan keputusan telah dibuat melalui proses yang tidak teliti terhadap semua kemungkinan dan implikasi yang bakal dihadapi.

"Dan, kerajaan yang ada tidak punya integriti dan ketelusan untuk uruskelola pentadbiran yang baik," kata beliau.

Jelas Azmi, apabila JPA mengumumkan setiap penjawat awam perlu menandatangani berhelai-helai dokumen, begitu banyak dokumen yang dicetak khas untuk ditandatangani oleh penjawat awam yang melebihi sejuta orang.

"Setiap penjawat dan kerani di pejabat mengambil masa berhari-hari mengejar kakitangan supaya melengkapkan dokumen sebelum tarikh yang ditetapkan.

"Ketika mana keputusan menguatkuasakan cadangan SBPA diumumkan, maklum balas negatif dari pelbagai pihak nampaknya terlalu lambat untuk diambil kira dengan serius," kata beliau dalam satu kenyataan.

Azmi menambah, teguran dan bantahan dilihat dari kaca mata politik pembangkang.

"Sehingga JPA dan pejabat Perdana Menteri menerima lebih 1,000 memorandum bantahan yang bertalu-talu barulah akhirnya keputusan dimansuhkan diumum," kata beliau.
Sehubungan itu kata beliau, Teras mempersoalkan kebijaksaaan dalam proses membuat keputusan di pihak kerajaan sejak awal lagi.

"Apakah ketika sesuatu perubahan hendak dilancarkan, suatu kajian yang cukup mendalam tidak dilakukan terlebih dahulu sebelum pengumuman hendak dilakukan?

"Kini ramai penjawat awam yang telah menandatangani dokumen yang berkaitan. Setelah diumumkan pemansuhan SBPA, ramai yang hilang kepercayaan kepada pentadbiran kerajaan kerana kelihatan seolah keputusan dibuat tidak dengan teliti," katanya lagi.

Menurut Azmi, kini kerajaan terpaksa menanggung implikasi persepsi negatif penjawat awam terhadap kepimpinan pemerintah.

"Apakah kerajaan di bawah Najib kembali mempamerkan kerajaan 'flip-flop'.

"Apakah kerajaan perlu mendapat tentangan yang meluas dari rakyat baru kerajaan cuba merasionalkan keputusan untuk merubah?" katanya lagi sambil menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan kelemahan dalam uruskelola yang sangat buruk.

Kata Azmi, jika polisi boleh ditukar-tukar dalam masa yang singkat, tetapi sumber peruntukan wang dibelanjakan dengan sebegitu besar, ia jelas menunjukkan kelemahan dan kepincangan.

"Teras juga memanjangkan penelitiannya terhadap banyak lagi projek gajah putih yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

"Betapa pembaziran yang bernilai ratusan juta diseluruh Negara berlaku di hadapan mata rakyat menimbulkan pertanyaaan kerajaan tidak memperdulikan lagi wang rakyat yang dibelanjakan," katanya lagi. SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...