“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. - ayat 10 alKahfi

14 June 2011

Asal Hindu: Upa Purana - agama langit

Saya paparkan satu artikel yang amat berat untuk diterima oleh sebahagian dari Muslimin tetapi ianya berguna untuk bersangka baik terhadap Tuhan Semesta Alam yang Amat Adil bagi sekelian makhluk bernama manusia. Artikel ini saya petik dari sebuah tulisan yang panjang oleh penulis blog yang mempunyai nama pena "Pelita Dalam Kaca". Pada dasrnya saya amat bersetuju dengan pandangan beliau bahawa Agama Besar dunia asalnya adalah agama Tauhid jua tetapi terhakis di sebabkan berlansungnya perjalanan masa. Sebab itu Allah menurunkan Pesuruhnya yang baru bagi memperbaiki kerusakan. Namun hanya yang beriman dengan hati ikhlas sahaja akan dapat menerima Pesuruh baru tersebut. Itulah yang berlaku terhadap agama Hindu ini.

manuskrip upa purana


UPA PURANA

(Upa Purana adalah sebuah kesah dari Kitab Veda dalam agama Sanatana-dharma (Sanatara-dharma) - ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan’ iaitu nama asal bagi agama Hindu).

Upa Purana berisikan kesah kejadian alam semesta, kebinasaannya, pembaharuannya kembali, berserta salasilah devas iaitu makhluk-makhluk ghaib yang baik dan salasilah asuras iaitu makhluk-makhluk ghaib yang jahat, disusuli dengan kesah penciptaan manusia pertama bernama Manu dan penciptaan perempuan pertama bernama Shatarupa.

Dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai devas, bermakna ‘yang cemerlang’. Devas adalah makhluk cemerlang kerana diciptakan dari nur dan merupakan makhluk yang taat mengabdi kepada Brahman. Di antara mereka menjalankan tugas-tugas tertentu misalnya Dewa Indra untuk menjaga swarga-loka, dan Dewa Yama untuk mencabut nyawa makhluk dan Dewa Vishnu sebagai utusan Brahman kepada para risyi dan lain-lain. Asuras pula bermakna ‘yang gelap’ kerana diciptakan dari api (nar). Tetapi makhluk ini martabatnya jatuh kerana mengengkari Brahman dan menyelewengkan ajaran Brahman. Ketua dari golongan mereka dipanggil Virochana.

Di dalam Upanishad pada bahagian Chandogya dikisahkan bahawa Indra dan Virochana pergi belajar selama tiga puluh dua tahun lamanya kepada Prajapati. Pada akhirnya Prajapati menyuruh mereka berdua mengenakan pakaian yang seindah-indah mungkin dan diminta memandang ke dalam air bening bagi mengenali Dia. Kedua-dua mereka nampak bayangan diri masing-masing tetapi Indra masih juga belum menemui Dia. Indra tidak berpuas hati dan belajar lagi sehinggalah akhirnya Prajapati menjelaskan tentang Dia.

Verochana yang begitu berpuas hati dengan penemuan dirinya dalam percubaan pertama merasakan dirinya alim kerana memiliki ilmu yang teramat penting. Selepas itu dikisahkan: ‘Now Virochana satisfied for his part that he had found out the Self, returned to the demons and began to teach them that the body alone is to be worshipped that the body alone to be served, and that he who worships the body and serves the body gain both worlds, this and the next.Such doctrines, in very truth, the doctrine of demons’ (Sekarang Virochana berpuas hati dengan dirinya yang telah berjaya menemui Diri, lantas kembali kepada para iblis dan mulai mengajar mereka bahawa hanya jasad sahaja yang perlu dipuja (sembah), jasad sahaja yang perlu dikhidmati dan sesiapa yang menyembah jasad dan melayani jasad beroleh kemenangan dalam hidup kini dan kehidupan yang akan datang. Ajaran demikian, sebenarnya, adalah ajaran ketuhanan iblis).

Demikianlah dikisahkan perpisahan jalan yang ditempuh oleh kedua-dua belah pihak di kalangan makhluk rohani yakni pihak devas dan pihak asuras.Dan kedua-dua pihak ini lantas berebut pengaruh dalam lingkungan kehidupan manusia seluruhnya. – Agama-Agama Besar Di Dunia hal.36-47.

Upa Purana menceritakan sesuatu yang sangat sinonim dengan apa yang dijelaskan dalam Agama Tauhid. Devas sesungguhnya tidak syak lagi adalah makhluk malaikat kerana dijadikan dari cahaya (disebut api?). Dewa Indra yang disebutkan sebagai penjaga syurga-loka sudah tentulah malaikat Ridwan as. Dewa Yama yang ditugaskan mencabut nyawa, sudah tentulah merujuk kepada malaikat Izrael as sementara Dewa Vishnu adalah malaikat Jibrail as.

Asuras adalah makhluk iblis. Virochana dalam Islam dipanggil Azazil. Kesah Virochana yang angkuh dan rasa cukup berilmu memang sama dengan kesah Azazil yang dipilih mengetuai seluruh makhluk langit kerana ketinggian ilmunya mengatasi seluruh malaikat muqarrabin. Adalah diriwayatkan melalui kesah-kesah lama dari kitab-kitab lama, bahawa telah berlaku kegemparan di seluruh petala langit, tersebar khabar-khabar anign, akan berlaku kedurhakaan kepada Tuhan Yang Maha Esa. Maka menjadi gementarlah seluruh para malaikat termasuk Jibrail as, Mikail as, Israfil as, Izrael as dan semua malaikat-malaikat muqarrabin. Mereka diriwayatkan telah mengadakan perjumpaan bagi menghindari dan menyelamatkan diri masing-masig dari melakukan kedurhakaan kepada Allah Rabul Alamin. Timbulah usul untuk membawa kebimbangan tersebut kepada Azazil kerana dialah yang terlebih alim setelah beribadah selama lebih 200,000 tahun. Pergilah kesemua malaikat muqarrabin termasuklah Jibrail as, Mikail as, Israfil as dan Izrael as mewakili seluruh golongan malaikat, datang dengan penuh hormat merendahkan diri mengadukan hal kepada Azazil.

Azazil – dalam Upa Purana – disebut Verocana, begitu teruja kerana dikunjungi oleh semua para pembesar kerajaan langit, lantas memanjatkan doa kepada Tuahn Semesta Alam memohonkan keselamatan bagi semua para malaikat, tetapi terlupa berdoa untuk dirinya dan golongannya.Kitab Suci al Quran melanjutkan kesah ini dengan firman-firman berikut:

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat:’Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata:’Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’.  Tuhan berfirman: ’Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.(Al Baqarah:30)

Allah swt mempunyai pelan tindakan untuk selama sekitar 7000 tahun di alam syahadah yang terdiri dari 11 bintang, bulan dan matahari yang tidak samasekali diketahui dan difahami oleh para malaikat. Sesungguhnya penciptaan manusia adalah satu rencana penciptaan yang amat besar dan penuh rahsia dan ini termasuk dalam rahsia-rahsia yang bukan sahaja amat besar, malah rahsia yang paling rahsia di sisiNya.

Lalu malaikat Jibrail as diperintahkan mencipta jasad Adam as. Ini dijelaskan di dalam Al Quran:

`Dan ketika Tuhamu berfirman kepada para malaikat:”Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruhKu, maka tunduklah kamu kepadaya dengan bersujud’ (Al Hijr: 28-29)

Sebaik jasad Adam as sempurna dicipta maka Allah swt berfirman:

`Sujudlah kamu kepada Adam’, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Ia enggan dan takbur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang kafir’. (Al Baqarah:34)

Azazil (Verochana) enggan sujud kerana padanya terdapat sifat-sifat besar diri oleh ilmunya yang tinggi, kedengkian dan kesombongan.

‘Allah berfirman:’Apakah yang menghalangmu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?’.Menjawab Iblis:’Saya lebih baik daripadanya.Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah’. (Al A’raf:12)

Hadis riwayat Muslim menerangkan bahawa Rasulullah saw bersada:

`Setelah Allah membentuk Adam dalam syurga dan diberikan tanpa roh, maka Iblis mengelilinginya dan melihat apakah sebenarnya dan ia dapati kosong dan ia menganggap kejadian itu tidak bererti’.
Malaikat Azazil menjadi Ibis kerana sesuatu yang telah termaktub dalam rahsia Iradah Qadak dan Qadar sebagaimana penciptaan Adam as adalah juga satu rahsia Iradah Allah swt yang paling besar. Iblis tidak mengetahui hakikat rahsia kejadian Adam as dan dia sombong dengan persangkaan dia lebih mulia kerana diciptakan dari api berbanding Nabi Adam as daripada tanah, air, api dan angin.

Fungsi devas dan asuras dalam Upa Purana yang sama-sama bersaing dalam memenangi hati manusia samalah dengan fungsi malaikat dan iblis yang sentiasa bertarung untuk merebut ‘singgahsana’ di hati anak Adam. Fungsi Asuras atau iblis dirakamkan dalam al Quran:

‘Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya dengan berkata:’Hai Adam! Mahukah saya tunjukkan kepada kamu pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa?”

Maka keduanya (Adam dan isterinya) memakan dari buah pohon itu lalu nampaklah bagi keduanya aurat-auratnya dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga dan durhakalah Adam kepada Tuhan dan sesatlah ia’ (Thaahaa:120-121)

`Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman:`Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan’ (Al Baqarah:36)

‘Allah befirman:`Turunlah kamu berdua dari syurga bersama-sama. Sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain. Maka jika datang kepadamu petunjuk daripadaKu, lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka”

`Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan meghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta (Thaahaa: 123-124)
Berlakulah dialog, ikrar dan sumpah antara Allah dengan Azazil.

‘Allah berfirman: Maka keluarlah kamu dari syurga. Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang diusir. Sesungguhnya kutukanKu tetap atasmu sampai hari pembalasan.

‘Iblis berkata: Ya Tuhanku! Beri tangguhlah aku sampai hari mereka dibangkitkan’
`Allah berfirman: Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh
`Sampai kepada hari yang telah ditentukan waktunya (Hari Kiamat)’

‘Iblis menjawab: “Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang mukhlis di antara mereka” (Shaad:77-83)

‘Allah berfirman: ”Ini adalah jalan yang lurus; kewajipan Aku lah (menjaganya). Sesunggunya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat’ (Al Hijr:41-42)

‘Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka kesemuanya’(Shaad:85)

Diriwayatkan melalui Hadis Rasulullah saw, apabila Iblis diberi tangguh, lalu Ibis berkata: Demi kemuliaan Engkau! Sesungguhnya tidak aku keluar dari hati anak Adam, selama ia masih bernyawa” Maka Allah Taala berfirman” “Demi kemuliaanKu! Sesungguhnya tidak terdinding dari anak Adam itu taubat, selagi ia masih bernyawa”(Ihya 6:138)

Allah swt telah menurunkan kesemua empat antagonis dan protagonis yang terlibat dalam takdirNya - Nabi Adam as, isteri Baginda Siti Hawa, ular dan Iblis – ke planet dunia; alam syahadah tempat transit bagi sebuah destinasi sebelum dipanggil pulang kembali ke HadratNya.Nabi Adam as diturunkan di bumi India, Siti Hawa di Jedah, ular di Isfahan dan Iblis di Baysan (di selatan Palestin).

Nabi Adam as menderita jiwa dan mental selama 100 tahun di India. Di sana Baginda as hidup berduka menangisi dan menyesali kealpaan dan kesilapannya sehingga tidak pernah sekalipun mengangkat kepalanya ke langit. Akhirnya Allah mengutus malaikat Jibrail as menemuinya. Al Quran merakamkan hal ini:

`Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya,, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Peyayang’.

`Kami berfirman:`Turunlah kamu dari syurga itu.Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barangsiapa yang mengikut petunjukKu nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati’ (Al Baqarah:36-38)

`…lalu barangsiapa yang mengikut petunjukKu., ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka’ (Thaahaa:123)

`Adapun orang-orang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya’ (Al Baqarah:39)

Upa Purana menyebut Manu sebagai manusia pertama dan isterinya adalah Shatarupa sementara Al Quran menerangkan Nabi Adam as adalah manusia pertama dan Siti Hawa adalah isterinya. Sudah tentulah Manu dan Adam as adalah lelaki yang sama – bapa seluruh keturunan manusia; sementara Shatarupa dan Siti Hawa adalah ibu kepada sekalian manusia.



keredit untuk http://wwwfafiruilallah.blogspot.com/2008/12/upa-purana.html




SANATANA-DHARMA

Upa Purana meriwayatkan Manu adalah manusia pertama dicipta. Keturunan Manu Pertama berlanjutan sampai ke Manu Keenam tetapi semuanya binasa oleh Topan Besar yang melanda permukaan bumi, kecuali satu keluarga yang selamat. Keluarga yang selamat itu dipanggil Manu Ketujuh dan merupakan asal-usul manusia yang ada sekarang ini.Manu Ketujuh disebut Vaivaswata. Vaivaswata dikatakan telah menyusun hukum-hukum yang dikenali dengan Kitab Hukum Manu.


Kesah Topan besar yang membinasakan seluruh keturunan umat manusia kecuali Manu Ketujuh samalah dengan kesah banjir zaman Nabi Allah Nuh as. Manu Ketujuh yang bernama Vaivaswata tentulah – menurut sangkaan yang kuat - adalah Nabi Nuh as dan Manu-Manu sebelumnya tentulah para Nabi dan Rasul utama sebelum terutusnya Nabi Nuh as.

Kesah mengenai kehancuran oleh banjir besar – topan besar dalam Upa Purana – dirakamkan dalam al Quran dalam ayat berikut:

“Kami berfirman’Muatkanlah ke dalam bahtera itu dari masing-masing binatang sepasang dan keluargamu kecuali orang telah terdahulu ketetapan terhadapnya dan orang-orang yang beriman. Dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit’.

Dan Nuh berkata:’Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut nama Allah di waktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun dan Maha Penyayang.

Dan bahtera itu belayar membawa mereka dalam gelombang laksana gunung. Dan Nuh memanggil anaknya, sedang anaknya berada di tempat yang jauh terpencil:”Hai Anakku, naiklah bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir”

Anaknya menjawab:”Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah”. Nuh berkata:”Tidak ada yang melindung hari ini dari azab Allah selain Allah Yang Maha Penyayang”:.Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya; maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.

Dan difirmankan:”Hai bumi, telanlah airmu, dan hai langit berhentilah”. Dan air pun disurutkan, perintah pun diselesaikan dan bahtera itu pun berlabuh di atas bukit Judi, dan dikatakan:”Binasalah orang-orang yang zalim” –Hud:40-44.

Kitab Hukum Manu yang disusun oleh Vaivaswata – Nabi Nuh as – besar kemungkinan dapat dikesan dalam Kitab Veda yang menjadi kitab kepercayaan agama Sanatana-Dharma. Istilah Hindu adalah istilah yang menurut sejarahnya adalah istilah yang telah didahului oleh istilah Sanatana-dharma. Sanatana-dharma yang dirujuk kepada agama yang tertua ini bermakna ‘agama yang abadi’ atau ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan’. Istilah `abadi’ dan `tiada permulaan dan tiada kesudahan’ adalah konsep yang sangat halus mendalam dalam ajaran Tauhid yang merujuk kepada Allah sebagai Zat Yang Kekal Abadi dan Zat Yang Tiada Permulaan dan Tiada Kesudahan. Firman Allah:

‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir’(Al Hadid:3)

‘Allah tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus..’(Al Baqarah:255)

Dengan penjelasan ini tentulah boleh ditegaskan bahawa agama Sanatana-dharma iaitu ‘agama yang tiada permulaan dan tiada kesudahan (abadi) ini’ adalah agama yang memang terilham mutlak bersumber dari Zat Yang Maha Esa, sebagai Tuhan Yang Hidup Kekal Abadi, Yang Tidak Ada Awal dan Akhir bagiNya. Agama Sanatana-dharma ini sudah pasti adalah agamaNya yang ZatNya Kekal Abadi tetapi kemudiannya bertukar menjadi Agama Hindu. Istilah Sanatana-dharma bertukar kepada Hindu, iaitu dari perkataan Sindhu bersempena nama sebuah lembah Sungai Sindhu kerana di lembah sungai inilah orang-orang Arya yang bermigrasi ke India membina penghidupan sambil mengamalkan ajaran sebuah agama Tauhid yang sudah keliru dan bercelaru setelah melalui masa ribuan tahun sebelumnya pada zaman selepas Nabi Nuh as, Nabi Hud as, Nabi Salleh as dan Nabi Ibrahim as yang penuh dengan tribulasi, konfrontasi dan tentangan. Tentulah tidak mustahil istilah Hindu menjadi istilah yang lebih dominan dan berkuasa dalam tamadun di lembah Sungai Sindhu yang kian berkembang, menggantikan istilah Sanatana-dharma yang konsepnya telah kian luntur itu.
Ajaran Tauhid yang bermula sejak zaman Nabi Adam as adalah ajaran-ajaran dari langit yang sesungguhnya penuh ‘hikmah dan kebijaksanaan’. Lihatlah penjelasan Al Quran: ‘Yaasiin.Demi Al Quran yang penuh hikmah’ ( Yaasiin:1-2)

Al Quran adalah Al Kitab untuk membolehkan manusia memperoleh kebijaksanaan dan hikmah. Semua kitab-kitab dari langit sarat dengan hikmah dan kebijaksanaan. Kitab Veda adalah sebahagian dari Suhuf-Suhuf yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu justru istilah Veda sendiri membawa erti ‘hikmah dan kebijaksanaan’. Apakah bukan hikmah dan kebijaksanaan apabila kandungan dalamVeda sendiri antara lainnya adalah mengenai kesedaran dan kejiwaan tinggi, bukan sekadar intelektual semata-mata?

Istilah Veda berasal dari bahasa Sanskrit dari akar kata ‘wid’ yang kemudiannya berkembang menjadi weda atau widya yang bererti ilmu, pengetahuan dan kebijaksanaan. Seperti diperjelaskan, ajaran tauhid dari Suhuf-Suhuf dan al Kitab adalah ajaran yang sarat dengan ilmu, hikmah dan kebijaksanaan. Dengan ilmulah manusia akan memperolehi kebijaksanaan.Ilmu dan kebjaksanaan ini tidak diberikan wewenang kepada sesiapa oleh Allah yang merupakan Pemilik dan Sumber Ilmu. Kebijaksanaan adalah terkhusus kepada para Nabi dan Rasul kerana mereka adalah Pesuruh-Pesuruh Allah yang akan memberikan kebijaksanaan (veda), kemajuan dan tamadun kepada umat manusia.

 

Kitab Veda diperolehi secara ‘sruti’ iaitu sabda suci yang merupakan ajaran langsung yang diwahyukan oleh Brahman (Supreme God – Tuhan Agong) kepada setiap ‘rishi’ dan ‘maha rishi’ (orang suci). Ajaran dalam kitab Veda juga dihasilkan menerusi ‘smirti’ iaitu tradisi dalam bentuk ucapan, perbuatan dan tulisan dari seseorang rishi atau ajaran guru (archaya) dan avatar.Para rishi dan maha rishi menerima ajaran dalam keadaan ‘samadhi’ iaitu secara bersemadi atau bersunyi diri.

Keterangan di atas menghampirkan Veda dengan tradisi penurunan agama Tauhid melalui firman Allah kepada para Nabi dan Rasul rh yang diterima melalui khilwah dan bertapa atau mengasingkan diri dari kesibukan manusia dan dunia. ‘Sruti’ hampir atau bagaikan menyamai tradisi penurunan wahyu sementara ‘smirti’ menghampiri tradisi Hadis dan Sunnah Rasul. Dengan begitu tentulah ‘Sruti’ bererti Firman Tuhan (wahyu) sementara ‘smirti’ adalah Sabda Junjungan (hadis) dari para Nabi dan Rasul (rishi dan maha rishi).
Selain itu Veda juga diertikan ‘kebijaksanaan dari Cahaya Putih’. Pemilik dan sumber kebijaksanaan adalah Allah Rabbul Alamin. Allah adalah sumber bagi segala sesuatu di seluruh alam semesta ini. Apabila Veda bermakna ‘kebijaksanaan dari Cahaya Putih’, maka Cahaya Putih amatlah sinonim dengan Firman Allah swt:
“Allah Cahaya Langit dan bumi’ - An Nuur:35)

Adalah dipercayai kitab Veda yang mengandungi bait-bait puisi, doa dan upacara-upacara keagamaan ini digubah secara bertulis dalam tempoh melebihi jangkamasa seribu tahun bermula 1400sm. Sebelum Veda dikenali dalam bentuk tulisan, ajaran-ajaran Brahman ini hanya wujud secara lisan dan pertuturan. Justru apabila kitab Veda berjaya dikumpulkan secara bertulis, maka Veda merupakan satu-satunya kitab agama terawal yang ada pada tangan manusia dan tersimpan sehingga kini. Apakah tidak mungkin di dalam Vedalah barangkali tersimpan sebahagian ajaran-ajaran Tauhid yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul rh pada zaman ribuan tahun Sebelum Masihi melalui Suhuf-Suhuf yang berjumlah 100 buah yang diturunkan oleh Allah Tuhan Semesta Alam?

Ajaran Tauhid adalah ajaran yang satu dan sama; atau tetap serupa mengenai doktrinnya, yang diturunkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Dari Nabi Adam as sehinggalah kepada zaman Nabi Muhammad saw ajaran Tauhid – meliputi soal-soal ketuhanan dan kerasulan, akhlak dan tingkah laku, konsep dosa dan pahala, syurga dan neraka, konsep pengabdian kepada Tuhan, konsep dunia dan akhirat, hakikat roh dan mikraj rohani, hadap hati dan pegangan hati, mujahadah, muraqobah dan musyahadah, zuhud, syukur, tawakal, redha, cinta Allah dan Rasul dan sebagainya; semestinya sama – dahulu, sekarang dan sampai kiamat. Inilah sesunguhnya yang telah terbukti dalam ajaran Hinduisme, sebagai agama yang bersumber dari Tauhid, yang diturunkan dari langit oleh Tuhan Yang Maha Esa, Allah Tuhan seluruh umat manusia dan Tuhan bagi seluruh alam semesta.Sebanyak mana yang ditemui ada persamaan dan unsurnya, maka di situlah kebenaran Tauhid dan kebenaran persangkaan bahawa Agama Hindu juga adalah agama yang diturunkan dari langit, bukannya agama budaya sebagaimana yang dikategorikan selama ini.

Mengenai hal ini Al Quran menjelaskan:

`Manusia itu adalah umat yang satu, maka Allah mengutus para Nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata kerana dengki antara mereka. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendakNya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus’
(Al Baqarah:213)

Akan tetapi sebahagian besar manusia oleh godaan syaitan telah terkeluar dari ajaran Tauhid.Firman Allah swt:
`Kemudian mereka menjadikan agama mereka terpecah belah menjadi beberapa pecahan.’ (Al Mukminuun:53)

‘.. segolongan dari mereka mendengar firman Allah lalu mereka mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui’(Al Baqarah:75)

Firman seterusya:
"Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, pada hal mereka mengetahui’ (Al Baqarah:146)

Sedangkan di sisi Allah swt agama Tauhid tetap satu – dulu, sekarang dan untuk selama-lamanya. Pada zaman Nabi Muhammad saw baharulah ajaran Tauhid yang melalui proses evolusi ribuan tahun menjadi lengkap dan sempurna kerana Baginda saw adalah ‘insan kamil mukamil’, insan teragung yang menyempurna dan memanifestasikan seluruh kesempurnaan Zat Wajibal Wujud, untuk kehidupan umat manusia sehingga berakhirnya kehidupan dunia.Betapa agungnya firman Allah Azza Wajalla mengenai insan awal hakiki ini:
‘Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad saw) melainkan untuk rahmat bagi semesta alam’ (Al Anbiyaa:107)

Dengan kata-kata lain, ajaran tauhid yang melalui proses evolusi sejak dari zaman Nabi Adam as terus memaju dan memperkembangkan tamadun dunia, dibawa sambung menyambung oleh 124,000 orang Nabi dan Rasul, lantas apabila ‘zahirnya’ insan awal hakiki ini, sampailah dunia kepada kesempurnaan.Bersempena dengan itu Allah Taala berfirman:

`Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)

kredit: http://wwwfafiruilallah.blogspot.com/2008/12/sanatara-dharma.html



BRAHMAN

Berikut dipaparkan beberapa keterangan yang berkaitan mengenai Ketuhanan Brahman melalui beberapa sumber.

· Menurut Joesoef Sou’yb dalam bukunya Agama-Agama Besar Di Dunia menjelaskan dalam Veda dinyatakan bahawa Brahman itu merupakan Wujud Tunggal Pencipta, memiliki sifat-sifat kesempurnaan. Tidak dapat diraba, tidak dapat dilihat, tidak dapat didengar. Ia dikenali melalui pernyataannya di dalam alam semesta. Brahman itulah sahaja yang mesti disembah dan dipuja, lainnya tidak.

· Edward Rice pula menerangkan mengenai Brahman seperti berikut:

‘The Supreme Reality conceived of as one and undifferentiated, static and dynamic, yet above all definations; the ultimate principle underlying the world, ultimate reality:’Without cause and without effect, without anything inside or outside,’ according to the sage Yajnavalkya” Brahman is he whom speech cannot express, and from whom the mind, unable to reach him, comes away baffled,’states the Taittriya Upanishad. Brahman is now of interest more as a philosophic concept of past ages than as an active principle – to be meditated upon, but not adored or worship’.

· Brahman adalah satu konsep yang dikaitkan dengan maksud ‘tuhan berada di mana-mana malah setiap individu adalah tuhan’. Dalam kitab Veda Brahman dikatakan bersabda dalam bahasa Sanskrit: ”Ahum Brahmmasmi” yang bermaksud ‘I am the totality’ atau ‘Akulah yang meliputi’.

· Mengikut Upanishad, pada permulaan wujud, tidak ada wujud sesuatu, semuanya mati, tetapi yang ada ialah nyawa, yang ada ialah Brahman. Brahman ialah suatu kekuatan ketuhanan yang neutral, suatu kekuatan tenaga yang suci. Dan ia juga dimaksudkan sebagai ‘nyawa alam semesta’ dan ‘zat ketuhanan sejagat’.

· Brahman adalah yang benar daripada yang benar, yang nyata daripada yang nyata. Brahman adalah nyawa yang melingkupi semua alam nyata ini. Semua yang wujud ini berasal dari Brahman dan akan kembali kepadanya. Manusia datang dari Brahman, bernafas di dalam Brahman dan akan lenyap ke arah Brahman.(Dari Adam Sampai Muhammad hal. 169)

· Sankara iaitu seorang komentatur terpenting pada abad ke 9M, pengasas mazhab Sankara-charya menyatakan ‘dunia bukanlah ilusi semata-mata, sebaliknya menefestasi Brahman itu sendiri – hanya yang bijaksana dapat melihat kebenaran ini’.

Berikut adalah unsur-unsur Tauhid sekitar ketuhanan Brahman apabila dikaitkan dengan Ketuhanan Allah Rabbul Alamin.

Brahman adalah Wujud Tunggal Pencipta atau tuhan yang satu samalah dengan ‘Katakanlah: Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa’(Al Ikhlas:1).

Allah adalah nama bagi zat - Zat Allah Yang Maha Esa. Allah adalah nama Tuhan yang termaktub dalam Kalimah Tauhid ‘Laa illa ha illallah” – Tiada Tuhan Selain Allah. Apabila tercipta Hakikat Muhammadiah (Nur Muhammad saw), maka Kalimah Tauhid menjadi lengkap bersama Kalimah Rasul ‘Laa illa ha illallah Muhammadar Rasulullah’ – Tiada Tuhan Selain Allah, Muhammad Rasul Allah’. Kalimah Tauhid inilah yang tertera di mana-mana sahaja di pepenjuru alam termasuk di syurga yang disaksikan sendiri oleh Nabi Adam as sebelum Baginda as dikeluarkan dari syurga.

Allah adalah Zat Yang Maha Tunggal, bukan dua atau tiga atau lebih banyak daripada itu. Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa tetapi memiliki Sifat-Sifat Kesempunaan yang tidak terhingga jumlahnya. Sebahagiannya tersembunyi dalam nama-namaNya Yang Agung.

Firman Allah:

‘Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Dia mempunyai al asmaaul husna (nama-nama yang baik)’ (Thaaha:8)

Ada sejumlah 99 nama-nama Allah yang baik yang menjadi pengistiharan Keagungan dan KemuliaanNya.

Seandainya Brahman dalam bahasa Sanskrit merujuk kepada nama Zat Tuhan sebagaimana nama Allah,  maka bererti Brahman dan Allah merujuk kepada perkara yang sama iaitu nama bagi Zat yang bersifat Maha Tunggal. Kitab Tauhid menerangkan bahawa permulaan bagi segala sesuatu adalah dari Allah - NurNya.

Firman Allah:

“Dialah Yang Awal….’ (Al Hadiid:3)

“Allah Cahaya langit dan bumi’ (An Nuur:35)

Apakah dalam bahasa Sanskrit, Brahman bermaksud Tuhan Yang Maha Pemurah sebagaimana istilah Ar Rahman dalam Bahasa Arab? Tidakkah pula Wujud Tunggal Pencipta sama dengan Zat Yang Maha Esa? Soalan-soalan ini perlu diberi perhatian oleh pakar bahasa Sanskrit untuk memberi makna yang tepat mengenai Brahman.

Apabila dihuraikan Brahman dari segi zat maka amatlah sinonim dengan Allah Taala yang ZatNya adalah satu kefahaman metafizika yang terjauh dari segala yang terjauh, kefahaman yang terdalam dari segala yang terdalam dan samasekali tidak dapat dicapai oleh minda. Firman Allah Taala:

‘dan tidak ada suatupun yang setara dengan Dia’ (Al Ikhlas:4)

Pesan Nabi Muhammad saw:

‘Bertafakurlah (berfikir) pada makhluk Allah dan jangan kamu bertafakur pada Zat Allah Taala’

Brahman berada ‘di mana-mana’ atau ‘meliputi’, ‘the ultimate principle underlying the world’ samalah dengan ‘..dan Allah Maha Meliputi segala sesuatu’ (An Nisaa:126) iaitu Allah adalah Hakikat Wujud.

Setiap individu adalah tuhan samalah/hampir samalah dengan‘Sesungguhnya Tuhanmu meliputi segala manusia’ (Al Israa:60)

Dunia adalah ‘menefestasi Brahman’. Menefstasi ertinya tajalli yakni penzahiran dari abstrak kepada konkrit, dari ghaib kepada nyata. Allah adalah Zat Ghaibul Ghuyub dan menjadi Punca dan Sumber Kewujudan. Tajalli adalah dari Zat kepada Sifat atau dari Nur Allah kepada Nur Muhammad saw sehinggalah seterusnya terciptalah hakikat maujud segala sesuatu. Konsep ini tersimpul dalam firman Allah swt:

‘Sesungguhnya keadaanNya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadaNya:”Jadilah!”, maka terjadilah ia’(Yaasiin:82).

Juga menerusi firmanNya:

‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin’ (Al Hadiid:3)

‘Sesungguhnya Tuhanmu meliputi segala manusia’ (Al Israa:60)

‘..dan Allah Maha Meliputi segala sesuatu’ (An Nisaa:126)

‘Hanya yang bijaksana dapat melihat kebenaran ini’ (iaitu Brahman adalah menefestasi / meliputi). Sesuailah dengan konsep Makrifat Sifat. Hanya dengan pencapaian ilmu makrifah dan kasyaf. Sesuai dengan Sabda Penghulu Junjungan saw: ‘Bermula, awal-awal agama ialah mengenal Allah’. Dengan mengenali Allah, ‘kebenaran’ akan terbuka.

‘Tanpa sebab dan akibat’ (without cause and without effect) - Sesuailah dengan Sifat Qidam (Ilmu Sifat 20) – Bahawa sesungguhnya Allah Taala bersifat Semulajadi / Sediakala. ‘Dialah Yang Awal…’(Al Hadiid:3)

‘Tidak di dalam dan tidak di luar sesuatu’ (without anything inside or outside) adalah sifat Zat Allah swt persis rasa masin dan manis dalam air yang samasekali tidak dapat dipisah-pisah atau diasing-asingkan (undifferentiated). Sifat ‘Berdiri Allah Taala dengan sendiriNya’ (Qiamuhu Taala Binafsih - Sifat 20) yakni Allah Taala tidak bergantung kepda sesuatu, sebaliknya segala sesuatulah yang bergantung kepadaNya, kepada kudratNya : ‘dan tidak ada suatupun yang setara dengan Dia’ (Al Ikhlas:4)

‘Bicara tanpa suara’, (Brahman is he whoms speech cannot express) iaitu tradisi dan sifat wahyu – ‘sruti’ dalam Sanskrit; disampaikan kepada para Nabi dan Rasul – ‘risyi’ dan ‘maha risyi’ dalam Sanskrit, bahawa Allah Taala berbicara/berfirman tidak sebagaimana manusia berkata-kata dengan adanya mulut dan lidah, ada suara dan huruf-huruf tulisan. Firman Allah swt:

‘Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizinNya  apa yang  Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana. Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) wahyu dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab dan tidak pula mengetahui apakah iman itu, tetapi Kami menjadikan Al Quran itu cahaya, yang kami tunjuk dengan dia sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaanNya segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi.Ingatlah, bahawa kepada Allah lah kembali semua urusan’ (Asy Syuraa:42:51-53)

Konsep enigma Brahman dalam Bhagavad Gita diilustrasikan sebagaimana berikut iaitu mengenai seorang anak yang pergi jauh selama 12 tahun dengan tujuan mempelajari Veda dan pulang dengan perasaan bangga:

“Letakkan garam ini di dalam air dan esok pagi datanglah semula”

Svetaketu melakukan seperti diarahkan dan pada pagi esok ayahnya berkata kepadanya:

“Ambil balik garam yang awak letakkan dalam air semalam dan serahkan kepada ayah”

Svetaketu melihat ke dalam air tetapi tidak lagi melihat garam kerana garam telah larut. Ayahnya kemudian berkata:

“Cuba rasa air itu? Bagaimana rasanya?”

“Masin!”

“Rasa di bahagian tengah pula. Bagaimana?”

“Masin”

“Rasa dari sebelah sana pula. Bagaimana?”

“Masin”

“Carilah semula garam itu dan berikan kepada ayah”

Si anak lantas menjawab:

” Saya tak nampak lagi garamnya ayah. Saya cuma nampak air!”

Ayahnya kemudian berkata:

”Begitulah anakku! Awak tidak akan dapat melihat roh. Tapi yang sebenarnya roh itu ada. Satu hakikat dan intipati yang amat halus dan tak boleh dilihat. Itulah Roh (Spirit) bagi seluruh alam semesta. Itulah Kewujudan (Reality). Itulah Kebenaran- Al Haq (Truth). ITU ADALAH ENGKAU!”

Konsep falsafah ketuhanan Brahman atau Hakikat Kewujudan sinonim dengan apa yang disajikan dalam kiasan Tasauf Islam. Samalah juga seperti mencari manis gula dalam secawan air. Biji-biji gula yang telah larut di dalam air tidak lagi kelihatan kerana yang wujud hanyalah rasa manisnya. Gula adalah sifat bagi manis, sebagaimana garam sifat bagi masin yang kedua-duanya - manis dan masin - telah lebur dalam kewujudan air. Tidak lagi dapat dilihat sifat garam dan gulanya, apatah lagi hakikat masin dan manisnya kerana semuanya telah lebur dalam kewujudan zat bernama air.Beginilah analogi hubungan hamba (salik) dengan Khaliqnya atau hakikat alam seluruhnya yang diistilahkan dengan Supreme Reality dan Ultimate Reality.

Petikan-petikan berikut memberikan maklumat teologis yang lebih lengkap mengenai Brahman dan bandingkanlah dengan keterangan Al Quran mengenai Ketuhanan Allah:

In the beginning there was Existence, One only, without a second (Pada permulaannya hanya ada satu Wujud, Maha Esa, tanpa ada yang kedua) - Upanishad, Chandogyia.

Before creation, all that was the Self, the Self alone. Nothing else was. Then Self thought: Let me send forth the worlds (Sebelum kejadian, seluruh yang ada cuma dia.Dia sahaja. Tidak ada yang lainnya. Kemudian dia berfikir:Biar Aku adakan alam semesta) - Upanishad, Aitareya

He thought: Behold the worlds. Let me now send forth their guardians. Then he send forth their guardians. (Dia berfikir: Lihat alam semesta. Biar aku adakan para penjaganya. Kemudian Dia mencipta penjaganya) Upanishad. Aitarey

Let a man, freeid from the taint of passion, worship Brahman alone (Mestilah seorang manusia, terbebas dari godaan nafsu, menyembah Brahman sahaja) Upanishad, Chandogya.

Brahman is supreme. He is self – luminous. He is beyond all thought. Subtler than the subtlest is He, farthest than the farthest, nearer than the nearest. He resides in the lotus of hearth of every being ( Brahman itu maha agung. Dia cemerlang sepanjang zatnya. Dia berada di luar seluruh pemikiran.Dia maha ghaib dari yang paling ghaib, maha jauh dari yang paling jauh, maha dekat dari yang paling dekat. Dia bersemayam di dalam seroja hati setiap makhluk) - Upanishad, Mundaka.(Agama-AgamaBesar Di Dunia hal. 44-45)

Kredit Pelita Dalam Kaca

Saya percaya Hindu adalah terbitan dari agama Ibrahim, namun kerana berlangsungnya masa yang panjang ianya telah tercemar dengan khurafat.

Budha diutus sebagai nabi untuk membersihkan kotoran yang mencemari agama Hindu. Akhinya agama Budha juga telah dicemari pelbagai dorongan nafsu. Ia sudah tidak suci lagi.

Confusius juga saya percaya membawa ajaran bersih dari langit kerana beberapa bukti menunjukkan ajaran Confusius mengajak manusia kearah kebaikan. Tidak mustahil Confusius juga seorang nabi sebagaimana Budha.

Agama2 ini terbatal setelah Muhammad diturunkan sebagai Rasul Terakhir.

5 comments:

  1. semoga keselamatan tercurahkan atas semua orang yang mencari kebenaran ,,,
    mav , penulis beragama islam atau hindu ?

    ReplyDelete
  2. terima kasih kepada penulis... keterangan anda benar dan jelas... tapi masih xfaham kenapa penulis compare semua ni?? bagi pendapat saya ini xperlu kerana sudah jelas hindu telah mensyirikkan allah...

    info ini munkin berguna untuk mengajak hindu mengenali tuhan yang sebenar2nya...

    ReplyDelete
  3. Bahan bacaan yg sgt menarik shgga mndorong kita utk mem'baca' sejarah menurut ismu/isme/khndak Tuhan yg mnciptakan manusia dr satu pertalian darah...persis Muhammad mem'baca' kondisi masyarakat Mekah pd zaman kgelapan.

    ReplyDelete
  4. Dari situlah, jln2 yg bengkok diluruskan kembali oleh Muhammad berpandukan wahyu...mengikuti jln lurus yg dicontohkan oleh Ibrahim yg hanif kerana Ibrahim bukanlah termasuk org2 yg musyrik.

    ReplyDelete
  5. Al-Quran adalah kitab yang benar dan terakhir yang menjadi petunjuk kepada orang-orang yang beriman...Allah Hu Akbar

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...